Friday 24 February 2012

Kelas Kemahiran


Pusat Latihan SCH Kota Damansara telah julung-julung kali mengadakan kelas kemahiran untuk tahun 2012 ini semalam. 

Kelas kemahiran dicadang untuk diadakan sebulan sekali setiap hari Khamis. Jurulatih bertanggungjawab untuk kelas kemahiran ialah Saudara Abdul Jalil.

Sukacita dimaklumkan, ahli-ahli yang telah tamat dan berminat untuk mendalami dan mempertajam kemahiran adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai kelas kemahiran. 

Saturday 11 February 2012

Majlis Ijazah Potong

Pada malam 10 februari, bersamaan 17 rabiulawal yang lalu, telah diadakan majlis ijazah asas, potong dan tamat di rumah persatuan.

PL Kota Damansara telah menghantar pesilat-pesilat yang layak ke peringkat potong untuk mengambil ijazah. seramai 5 orang ahli telah mengambil bahagian.

Majlis bermula jam 9:30 malam dan diadakan dengan lancar dan penuh tertib. 

Majlis ijazah juga telah disertai oleh beberapa pusat latihan yang lain seperti Akademi sendiri, Pusat Latihan Kem Sungai Besi dan pusat latihan sejauh Seremban, Negeri Sembilan. 








Selesai adat ijazah, para pesilat dimandikan oleh petugas akademi. 

*maaf, gambar mandi tidak disertakan

Ahli-ahli juga menggunakan peluang yang ada ini untuk lebih beramah-mesra dan mendekati Guru Utama. Guru Utama juga tidak lokek menurunkan beberapa pesanan kepada anak muridnya.

Maka bermulalah satu tahap baru dalam perjalanan menuntut ilmu silat cekak ini. Diucapkan kepada saudara Jowe, Amir, Wan, Hafidz dan Anuar terus cekal menuntut ilmu sehingga ke peringkat tamat pula.

Buku Seni Silat Melayu

Baru-baru ini telah diadakan Pesta Buku 1Malaysia bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Tanpa mensia-siakan peluang dan kesempatan, penulis telah pergi ke pameran tersebut dan meninjau-ninjau bahan bacaan yang boleh dibeli.

Penulis telah melintasi gerai Dewan Bahasa dan Pustaka. Senaskhah buku telah menarik perhatian penulis, lalu penulis membelinya.


Buku tersebut bertajuk Seni Silat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya, setebal 188 mukasurat. Buku tersebut ialah hasil kajian Tuan Abd Rahman Ismail. Beliau seorang pesilat Seni Gayung Fatani, dan buku tersebut mengandungi catatan sejarah, pemerhatian, pengalaman dan aspirasi beliau dalam menerapkan seni silat dalam jatidiri bangsa Melayu di Malaysia.

Buku ini juga cuba mengupas beberapa isu dalam silat melayu iaitu, aspek seni tari, kebatinan, dan pengembangan seni silat ke luar ruang lingkup bangsa Melayu dan kawasan Nusantara, contohnya ke Eropah.


Salah satu pengalaman berharga yang dikongsi oleh Tuan Abd. Rahman di dalam bukunya ialah, pengalaman beliau menyertai Sukan SEA di Jakarta sebagai peserta silat olahraga, pada tahun 1979. Kontinjen tersebut disertai oleh 8 orang pesilat dari persatuan-persatuan silat yang menubuhkan PESAKA, termasuklah Guru Utama PSSCUHM masa kini, iaitu, YM Encik Marui@Marwi bin Latif sendiri.


Pada pendapat penulis, adalah baik bagi pesilat-pesilat Cekak untuk memiliki dan membaca buku ini, demi meluaskan pengetahuan dalam seni silat yang beraneka jenis di Tanah Nusantara ini. Terutamanya mengenai aspek seni dan tari silat Melayu. Selaras dengan sumpah setia kita, 'tidak mencaci segala rupa bentuk silat melayu asli yang lain'. Kata pepatah, 'tak kenal, maka tak cinta'. Apabila kita tahu, maka fahamlah kita mengapa silat lain ada tari, dan mengapa silat kita tidak mengutamakan aspek tari silat.

Tajuk buku: Seni SIlat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya
Penulis: Abd. Rahman Ismail
Ketebalan: 188ms
Harga: RM48.00
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Sunday 5 February 2012

Mesyuarat Agung, Hari Tenaga Pengajar dan Makan Malam 2012


Pada 4 Februari lalu, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya serta sambutan Hari Tenaga Pengajar 2012 dan majlis makan malam tahunan di Dewan Keramat Mall di Keramat.

PLSCHKD telah dijemput menghadiri mesyuarat agung tersebut dan juga diminta mengadakan persembahan demo khas sempena hari tenaga pengajar. Tanpa menghampakan permintaan tersebut, pasukan demo PLSCHKD mengkoreograf persembahan khas serta diiringi dengan kesan muzik khas.

Pada malamnya, PLSCHKD juga telah bersama-sama memeriahkan majlis makan malam di Dewan Keramat Mall. PLSCHKD telah memenuhkan dua meja yang ditempah. Pelbagai acara dilaksanakan pada majlis tersebut seperti cabutan bertuah, deklamasi sajak dan syair, penyampaian lading dan lelongan tongkat  istimewa bertandatangan Guru Utama.

Pada majlis yang sama, telah diuar-uarkan agenda Wajadiri tahun ini serta tempat acara Cabaran Pandai Silat yang kedua.


1. Sabar menanti hidangan
2. Bersinar matanya!
3. Kugiran menceriakan suasana

PLSCHKD sangat berkobar-kobar untuk menyahut cabaran Wajadiri dan Pandai Silat!