Pemimpin Agung



Allahyarham Ustaz Hj. Hanafi Haji Ahmad, bagi penuntut Silat Cekak Hanafi merupakan pemimpin agong dalam dunia persilatan Melayu. Pemimpin agong bermaksud, beliaulah orang yang menghidupkan kembali pusaka bangsa seni bela diri orang Melayu yang mampu menjaga diri dan membela diri pengamal-pengamalnya. Ini dibuktikan, apabila Silat Cekak ini dilahirkan kembali pada malam 5 Ramadhan 1385 hijrah, bersamaan dengan 28 Disember 1965. Pemimpin agong juga bermaksud, beliaulah orang yang pertama dapat menggunakan keseluruhan daya kreativiti yang dikurniakan Allah untuk menggubal satu jenis sistem pelajaran dan pembelajaran persilatan dan tatacara persilatan yang tersusun dan dapat dinilai oleh orang ramai tentang kelebihan dan keupayaan silat Melayu sebagai senjata mempertahankan diri. Akhir sekali, pemimpin agong juga bermaksud, beliaulah orang yang berjaya meletakkan seni silat Melayu yang sesuai dengan pengurusan organisasi moden.


Ustaz Hanafi Hj. Ahmad, anak jati Kedah. Lahir di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunung, Alor Setar, Kedah pada tahun 1923. Sesuai dengan zaman ketika itu beliau mendapat pendidikan awal di sekolah aliran Melayu Kampung Gunung , Alor Setar, Kedah dan seterusnya belajar agama di beberapa buah pondok dengan beberapa orang Tok Guru Ulamak di Kedah.
Ustaz Hanafi Haji Ahmad menyedari bahawa kefahaman yang tulen terhadap Allah s.w.t. dan dengan hanya mengikut sunnah Rasulullah, beliau sanggup mengorbankan masa mudanya mendalami bidang-bidang keagamaan dengan beberapa orang guru yang terkemuka di seluruh tanah air hingga ke Singapura. Proses pembelajaran untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya itu, memerlukan beliau menjadi murid setia suruhan, menjual apam balik, menjual ubatan tradisional dan merantau seluruh tanah air mencari guru yang sebenar-benar guru. Berkat usaha dan kesabaran beliau akhirnya dengan izin Allah, Ustaz Hanafi Haji Ahmad, bertemu dengan Tok Guru Pak Haji Zain bin Abdul Rahman, yang berjaya menjelaskan dan menyimpulkan hakikat ketuhanan kepada Allah Taala dengan menggunakan kitab Hikam Ibni Ataillah.
Perjuangan menuntut kemerdekaan mengimbau jiwa nasionalisme Ustaz Hanafi Haji Ahmad memperjuangkan hak budaya bangsa orang Melayu. Bidang yang sesuai dengan jiwanya sebagai anak watan Melayu ialah bidang persilatan Melayu. Ustaz Hanafi yakin bahawa orang Melayu juga mempunyai seni bela diri yang tidak kalah mutunya dibandingkan dengan seni bela diri bangsa lain. Kajian yang terperinci telah dilakukan terhadap pelbagai seni bela diri orang Melayu. Proses pencarian untuk mendapatkan silat yang benar -benar bertanggungjawab membela diri juga memerlukan Ustaz Hanafi Haji Ahmad sekali lagi merantau, menjadi murid suruhan guru, menuntut pelbagai ilmu bela diri orang Melayu dan menjual ubatan seluruh tanah air. Akhirnya dengan izin Allah beliau bertemu dengan En. Yahya Said yang mempunyai sejenis beladiri yakni Silat Cekak yang menunggu untuk menurunkan silat ini kepada yang hak.
Penguasaan Bahasa Melayunya yang baik merupakan aset bagi beliau mengungkapkan kembali dalam bahasa yang ringkas lagi tepat, seperti yang terbukti dalam pantun Silat Cekak dan falsafah Silat Cekak.
Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab memberikan harapan dan keyakinan baru kepada Silat Melayu supaya dipelajari oleh orang Melayu sendiri sebagai warisan budaya bangsa yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Sebagai tokoh pengurusan persilatan yang dinamis, beliau menggunakan seluruh kemahiran dan pengetahuannya bagi memberikan dinamisme baru kepada wajah seni silat Melayu dalam satu organisasi persilatan. Nyata sekali, sebahagian besar kejayaan Silat Cekak dipelajari oleh mesyarakat Melayu adalah hasil visi Ustaz Hanafi Haji Ahmad; pemimpin agung Silat Cekak. Kini, Silat Cekak Hanafi dapat dipelajari di semua institusi pengajian.
Musuh mahupun kawan, anak murid yang bersopan mahupun yang tidak bersopan, terpaksa mengakui dan menghargai beliau sebagai guru utama yang berkaliber dan pengurus yang bijak, berani dan cekal.
Ustaz Hanafi Hj. Ahmad pulang ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986 di Kuala Lumpur pada usia 63 tahun. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalakn nama . Beliau meninggalkan seorang balu Maimunah Haji Othman dan enam orang anak. Perjuangan beliau diteruskan oleh Mohd. Radzi bin Hanafi sahingga 13 Ogos 2006.
"Percakapan dan perbuatannya sama. Dalam apa jua perbuatan, Allahyarham mempraktikkannya dulu sebelum mendidik. Percakapan dan pandangannya mudah difahami serta selaras dengan tujuan hidup, Allahyarham juga bijak menyesuaikan diri dengan keadaan. Ada ketika menjadi guru, ada ketikanya menjadi bapa dan pada satu ketika yang lain seperti seorang sahabat."

-Pandangan En. Mohd. Radzi b. Hj Hanafi, Mantan Gutu Utama, Silat Cekak Hanafi terhadap pemimpin agung Silat Cekak, Allahyarhan Ustaz Hanafi Hj. Ahmad.

PENDIDIKAN
1929Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung, Alor Setar, Kedah.
1933Memasuki sekolah pondok di Kampung Alor Gonchar, Mukim Gunung, Alor Setar, Kedah di bawah pengawasan guru Hj. Osman bin Lebai Zain.
1936Memasuki Sekolah pondok Guar Chempedak, Gurun Kedah. Pelajaran agama dikendlikan oleh Hj. Abdul Majid dan pelajaran Arab pula diajar oleh guru Yahya bin Jonid.
Belajar sendiri dengan guru berikut:
Hj. Bukhari bin Hassan dari Batu 4 1/4, Kampung Pinang, Mukim Pengkalan Kundur, Alor Setar, Kedah.
Hj. Hanafiah - Bapa saudara beliau dari Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Hj. Lah dari Chegar, Pantai Johor, Kedah.
Berguru dengan Pak Ngah Shariff yang dikenali sebagai orang handal di Kedah ketika itu. Untuk mendapatkan ilmu, beliau kena menjadi orang suruhan guru terlebih dahulu, dengan membuat kerja-kerja berat, seperti memotong kayu, mencangkul dan bersawah. Dimasa lapang barulah Pak Ngah Shariff mengajari ilmu mempertahankan diri dan ilmu kebatinan (ilmu ketuhanan).
Mendapatkan pengalaman melalui merantau, pernah berbincang masalah dengan :
Che Salleh bin Hj. Abdul Rahman Limbong di Terengganu.
Kiyai Muhammad Fadlullah Suhaimi dari Singapura bertemu di Pahang.
Sheikh Osman Cincin dari Perak yang kononnya masyhur dengan ilmu kebal.
Abdullah Salleh - terkenal dengan Che Lah Keramat masyhur dengan ilmu perubatan tradisional di Terengganu.
Bertemu dengan seorang guru bernama Pak Hj. Zain bin Abdul Rahman. Beliau menyedari inilah guru yang dicari-cari selama ini yang dapat membuat kesimpulan dalam ilmu ketuhanan (Ilmu Tauhid). Kitab yang diajar oleh Pak Hj. Zain ialah Kitab Hikam Ibni Ataillah.
PENGALAMAN
Menjual ubat diseluruh tanahair.
Bergiat dalam bidang politik dalam tahun 40-an. Pernah memasuki Parti Seberkas dan Parti Negara pimpinan Allahyarham Dato' Onn Jaafar.
Pengarah zakat pada tahun 1963 di Pejabat Agama Negeri Kedah.
Menjual apam balik di Yala, Siam dan Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah.
Memimpin Seni Silat Cekak mulai 1965 sehingga Ogos 1986. 


-web cekakhanafi.com-