Wednesday 3 October 2012

Majlis Penerangan dan Pengambilan Ahli Baru


                                                            SEMUA DI JEMPUT HADIR
                                                    
Tarikh - 5 Oktober 2012
Masa  - 8.30 Malam
Tempat - Padang Rekreasi Sek. 6 Kota D'sara
               (blkg KFC & Pizza)



Silat Cekak Hanafi tergolong dalam seni beladiri atau "martial arts" yang tujuan utamanya adalah untuk menjaga nyawa dan tubuh badan daripada serangan. Dengan kaedah dan buah yang ada, Silat Cekak Hanafi mampu menangkis serangan dengan mudah, cepat dan tepat. Ia bukan jenis pencak yakni silat yang bertari atau berbunga.  Silat Cekak Hanafi adalah sesuai untuk semua insan tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, yang sempurna atau kurang sempurna anggota.

Silat Cekak Hanafi diajar secara berpakej dan diajar sehingga tamat. Dalam kaedah biasa, pakej sehingga tamat silat ini dapat disempurnakan di dalam tempoh 6 bulan. Tempoh ini boleh diselaraskan dengan keperluan sesuatu kelas seperti di sekolah- sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Selapas tamat, penuntut-penuntut boleh meningkatkan kemahiran secara bersendirian atau mengikuti kelas-kelas kemahiran yang diadakan dari masa ke semasa. Sebagai silat yang berasaskan gerakan seni, maka ia tidak memerlukan dan tidak menekankan keperluan kekuatan dan tenaga luar biasa untuk mengalahkan musuh.

Kaedah pembelajaran bersistematik dan tidak menyukarkan diri serta membolehkan penuntut mempertahankan diri walaupun di tempat-tempat yang sempit seperti di atas papan sekeping. 

Saturday 28 July 2012

Agihan Kurma di Kota Damansara



Malam penyediaan kurma

Sempena ketibaan bulan Ramadan yang mulia, Pusat Latihan Kota Damansara tidak lupa menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Kota Damansara. Kali ini, para ahli telah menyumbangkan bungkusan-bungkusan kurma kepada pengunjung pasar-pasar Ramadan seksyen 4 dan seksyen 6. Secara tidak langsung, pusat latihan juga mempromosi kewujudan aktiviti silat di sini.


Sambutan yang diterima amatlah menggalakkan dan bolehlah diteruskan pada masa hadapan. Tuan Presiden yang turut hadir sama-sama turun padang berpendapat sumbangan begini boleh diikuti oleh cawangan-cawangan lain.


Anak murid asal Almarhum Ustaz Hanafi

Pihak pusat Latihan amat berterima kasih dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ahli yang menyumbangkan masa, tenaga dan wang ringgit dalam menjayakan aktiviti ini.

Berbuka puasa selepas agihan

Thursday 19 July 2012

Majlis Ijazah


Selangkah demi selangkah, penuntut Silat Cekak Hanafi di Kota Damansara, berjaya tiba ke penamat.


Pada majlis ijazah baru-baru ini di Akademi, saudara Megat, Piji, Fuad dan Khairil akhirnya menerima ijazah tamat dari Guru Utama YM En. Marwi bin Latif.

Walaupun telah mendapat ijazah tamat dan akan mencukupkan sukatan pelajaran, proses menimba ilmu masih belum selesai.
Diharapkan anda tetap gigih belajar dan akan berjaya dalam sijil persilatan kelak. Tahniah diucapkan.


Dalam majlis yang sama, seorang penuntut wanita baru juga telah diijazahkan. Semoga semangat yang berkobar untuk mendalami ilmu beladiri tidak akan padam dan terus menyala.

Tuesday 26 June 2012

Kejohanan Bowling PSSCUHM


Perasmian oleh Tn Hj. Amrahi

Pada 24 Jun yang lalu, Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi telah menganjurkan pertandingan bowling tenpin.
Pusat latihan Kota Damansara tidak ketinggalan menghantar wakil untuk sama-sama memeriahkan acara dan memberi saingan kepada para peserta.

Pertandingan diadakan di Ampang Superbowl dan telah bermula pada jam 11 pagi. Acara dimulakan dengan lontaran yang penuh bergaya oleh Tuan Hj Amrahi.


Piala rebutan

Pelbagai gaya permainan dan kemahiran telah dipamerkan oleh setiap peserta. Semangat kesukanan dan kemesraan sesama ahli jelas kelihatan antara para pemain.

Pertandingan tamat selepas selesai acara regu dan perseorangan. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tn Haji Amrahi.
Wakil Kota Damansara (regu Megat dan Azizul) berjaya memperoleh tempat keenam terbaik keseluruhan.


Bacaan lanjut: web cekakhanafi.com

Saturday 19 May 2012

Ijazah Potong dan Tamat



Khamis lepas, beberapa lagi penuntut Silat Cekak Hanafi di PL SCH Kota Damansara telah berjaya mencapai tahap ijazah tamat dan potong.

Majlis disempurnakan di Akademi Silat Cekak Hanafi. Majlis bermula jam 9 malam dan selesai pada jam 11 malam.

Seperti biasa,  YM Guru Utama menjalankan kewajipannya memberi ijazah dan menyampaikan sepatah dua kata berkenaan aktiviti persilatan dan kata-kata semangat kepada yang baru mencapai peringkat baru dalam persilatan.

Wakil-wakil dari PL SCH Kota Damansara yang naik ke peringkat potong pada malam itu ialah saudara Piji, Megat, Khairil dan Fuad.

Manakala penuntut yang mengambil ijazah tamat ialah saudara Wan, Jowe, Amir dan Abid.

Majlis juga turut disertai ahli-ahli dari Pusat Latihan Kampung Baru dan TUDM Sungai Besi.



*saudara Abid tiada dalam gambar atas sebab-sebab teknikal

Monday 7 May 2012

Bukan Sekadar Bersilat

Sepak mula!

Kami juga bermain futsal!

Dalam rangka usaha menarik minat ahli-ahli yang barangkali sudah 'sejuk', pelbagai inisiatif boleh dicuba untuk menghangatkan kembali minat turun bersilat.

 

Sana! Jaga sana!

Selepas sesi latihan malam Selasa tempohari, Pusat Latihan SCH Kota Damansara mengajak ahli-ahlinya bersama-sama bermain futsal.

Dapat juga kita melihat bakat terpendam dan bakat terendam. Apapun, semuanya demi mengeratkan silaturrahim sesama ahli.



Syarat ketat tiada. Cuma dilarang bergaduh sesama ahli dan kaedah-kaedah, asas, jatuh mahupun potong tidak dibenarkan semasa futsal.

Mikir strategi ke tu?

Saturday 21 April 2012

Sunday 15 April 2012

Lirik Lagu Rasmi PSSCUHM - Peneraju Warisan Mutlak


'Peneraju Warisan Mutlak'

Penuh kesetiaan dan perpaduan
Kita junjung hasrat semua
Kepada guru, ibu dan bapa
Jasamu tetap dikenang

Kita menjaga keselamatan diri
Penuh semangat yang suci
Dengan asuhan jasmani dan rohani
Itulah amalan kami

Kita bersatu
Bicara benar
Tindak dengan bijaksana
Silat Cekak Ustaz Hanafi
Peneraju warisan mutlak

Kita berani dan beramanah
Mendukung wawasan mulia
Seni budaya pusaka kita
Untuk bangsa, agama dan negara

(ulang dua kali)

Lagu dan Lirik oleh Johari Salleh

Friday 24 February 2012

Kelas Kemahiran


Pusat Latihan SCH Kota Damansara telah julung-julung kali mengadakan kelas kemahiran untuk tahun 2012 ini semalam. 

Kelas kemahiran dicadang untuk diadakan sebulan sekali setiap hari Khamis. Jurulatih bertanggungjawab untuk kelas kemahiran ialah Saudara Abdul Jalil.

Sukacita dimaklumkan, ahli-ahli yang telah tamat dan berminat untuk mendalami dan mempertajam kemahiran adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai kelas kemahiran. 

Saturday 11 February 2012

Majlis Ijazah Potong

Pada malam 10 februari, bersamaan 17 rabiulawal yang lalu, telah diadakan majlis ijazah asas, potong dan tamat di rumah persatuan.

PL Kota Damansara telah menghantar pesilat-pesilat yang layak ke peringkat potong untuk mengambil ijazah. seramai 5 orang ahli telah mengambil bahagian.

Majlis bermula jam 9:30 malam dan diadakan dengan lancar dan penuh tertib. 

Majlis ijazah juga telah disertai oleh beberapa pusat latihan yang lain seperti Akademi sendiri, Pusat Latihan Kem Sungai Besi dan pusat latihan sejauh Seremban, Negeri Sembilan. 








Selesai adat ijazah, para pesilat dimandikan oleh petugas akademi. 

*maaf, gambar mandi tidak disertakan

Ahli-ahli juga menggunakan peluang yang ada ini untuk lebih beramah-mesra dan mendekati Guru Utama. Guru Utama juga tidak lokek menurunkan beberapa pesanan kepada anak muridnya.

Maka bermulalah satu tahap baru dalam perjalanan menuntut ilmu silat cekak ini. Diucapkan kepada saudara Jowe, Amir, Wan, Hafidz dan Anuar terus cekal menuntut ilmu sehingga ke peringkat tamat pula.

Buku Seni Silat Melayu

Baru-baru ini telah diadakan Pesta Buku 1Malaysia bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Tanpa mensia-siakan peluang dan kesempatan, penulis telah pergi ke pameran tersebut dan meninjau-ninjau bahan bacaan yang boleh dibeli.

Penulis telah melintasi gerai Dewan Bahasa dan Pustaka. Senaskhah buku telah menarik perhatian penulis, lalu penulis membelinya.


Buku tersebut bertajuk Seni Silat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya, setebal 188 mukasurat. Buku tersebut ialah hasil kajian Tuan Abd Rahman Ismail. Beliau seorang pesilat Seni Gayung Fatani, dan buku tersebut mengandungi catatan sejarah, pemerhatian, pengalaman dan aspirasi beliau dalam menerapkan seni silat dalam jatidiri bangsa Melayu di Malaysia.

Buku ini juga cuba mengupas beberapa isu dalam silat melayu iaitu, aspek seni tari, kebatinan, dan pengembangan seni silat ke luar ruang lingkup bangsa Melayu dan kawasan Nusantara, contohnya ke Eropah.


Salah satu pengalaman berharga yang dikongsi oleh Tuan Abd. Rahman di dalam bukunya ialah, pengalaman beliau menyertai Sukan SEA di Jakarta sebagai peserta silat olahraga, pada tahun 1979. Kontinjen tersebut disertai oleh 8 orang pesilat dari persatuan-persatuan silat yang menubuhkan PESAKA, termasuklah Guru Utama PSSCUHM masa kini, iaitu, YM Encik Marui@Marwi bin Latif sendiri.


Pada pendapat penulis, adalah baik bagi pesilat-pesilat Cekak untuk memiliki dan membaca buku ini, demi meluaskan pengetahuan dalam seni silat yang beraneka jenis di Tanah Nusantara ini. Terutamanya mengenai aspek seni dan tari silat Melayu. Selaras dengan sumpah setia kita, 'tidak mencaci segala rupa bentuk silat melayu asli yang lain'. Kata pepatah, 'tak kenal, maka tak cinta'. Apabila kita tahu, maka fahamlah kita mengapa silat lain ada tari, dan mengapa silat kita tidak mengutamakan aspek tari silat.

Tajuk buku: Seni SIlat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya
Penulis: Abd. Rahman Ismail
Ketebalan: 188ms
Harga: RM48.00
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Sunday 5 February 2012

Mesyuarat Agung, Hari Tenaga Pengajar dan Makan Malam 2012


Pada 4 Februari lalu, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya serta sambutan Hari Tenaga Pengajar 2012 dan majlis makan malam tahunan di Dewan Keramat Mall di Keramat.

PLSCHKD telah dijemput menghadiri mesyuarat agung tersebut dan juga diminta mengadakan persembahan demo khas sempena hari tenaga pengajar. Tanpa menghampakan permintaan tersebut, pasukan demo PLSCHKD mengkoreograf persembahan khas serta diiringi dengan kesan muzik khas.

Pada malamnya, PLSCHKD juga telah bersama-sama memeriahkan majlis makan malam di Dewan Keramat Mall. PLSCHKD telah memenuhkan dua meja yang ditempah. Pelbagai acara dilaksanakan pada majlis tersebut seperti cabutan bertuah, deklamasi sajak dan syair, penyampaian lading dan lelongan tongkat  istimewa bertandatangan Guru Utama.

Pada majlis yang sama, telah diuar-uarkan agenda Wajadiri tahun ini serta tempat acara Cabaran Pandai Silat yang kedua.


1. Sabar menanti hidangan
2. Bersinar matanya!
3. Kugiran menceriakan suasana

PLSCHKD sangat berkobar-kobar untuk menyahut cabaran Wajadiri dan Pandai Silat!

Saturday 7 January 2012

Pusat Latihan Kem TUDM Sungai Besi

Dalam meramaikan ahli dan usaha mengembangkan seni silat yang kita kasihi ini, PLSCH Kota Damansara telah mengadakan demonstrasi di Kem TUDM Sungai Besi sempena majlis penerangan, pembukaan pusat latihan dan pengambilan ahli baru di sana. 

Majlis penerangan telah diadakan pada 3 Januari baru-baru ini di dewan besar kem tersebut, pada jam 9:30pm. 

Pusat latihan yang baru dibuka ini akan diselia oleh saudara Zainuri. Latihan dijangka akan diadakan setiap Isnin malam dan Rabu malam. 

Video demonstrasi boleh didapati di SINI, atau lawati PL SCH Kota Damansara di facebook

Peserta demo tersenyum puas

Wednesday 4 January 2012

Pertandingan Futsal Piala YDP Selangor


Demi tidak menghampakan undangan, PLSCH Kota Damansara telah menerima jemputan dan bersama-sama memeriahkan Pertandingan Futsal Piala YDP Selangor 2011 di Bandar Baru Bangi.

Program anjuran SCH Selangor ini telah berjaya merapatkan persaudaraan sesama ahli SCH negeri Selangor dan memupuk semangat kesukanan. Terlebih utama, ialah bukan sahaja ahli silat hanya pandai bersilat, tetapi juga berbakat dalam sukan futsal. 


Nantikan program anjuran PLSCHKD tahun 2012 ini, dan sama-sama kita saksikan bakat-bakat sukan lain yang terpendam dalam ahli-ahli SCH.

Cabaran Pandai SIlat 2011

Buat julung-julung kalinya, Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia menganjurkan program pertandingan silat bernama Cabaran Pandai Silat. Program tersebut berlangsung di Jusco AEON AU2, Setiawangsa pada 17 Disember lalu. 

Pertandingan tersebut disertai oleh pusat-pusat latihan seluruh Malaysia, antaranya, dari Terengganu dan Perak. 13 pasukan lelaki dan 8 pasukan wanita telah mengambil bahagian.

Untuk acara yang pertama kali diadakan ini, PLSCH Kota Damansara dengan bangganya telah menghantar dua pasukan sebagai wakil. Kedua-dua pasukan ini terdiri daripada 14 individu yang berani menyahut cabaran Pandai Silat. Dua pasukan Kota Damansara dikenali dengan nama KD Segerak dan KD Hentak.

sedang giat berlatih

Kedua-dua pasukan telah menjalani latihan selama dua bulan sebagai persediaan menyahut cabaran. Walaupun begitu, nasib tidak menyebelahi satu pasukan dan hanya pasukan KD Hentak berjaya meloloskan diri ke peringkat Cabaran.

Dalam peringkat Cabaran, pasukan yang layak diberi masa sejam setengah untuk melengkapkan tugasan yang diberi secara undian rahsia. 

Saudara Jalil (tengah) membuka sampul rahsia


Namun terbukti yang cabaran ini bukan calang-calang. Cabaran benar-benar mencabar kemampuan pasukan KD Hentak, ditambah pula dengan tentangan sengit dari kesemua 10 pasukan yang layak. Pasukan KD Hentak berjaya meraih 5 tempat teratas walaupun tidak merasa hadiah wang tunai.

Tahniah Pasukan KD Segerak dan KD Hentak. Jumpa anda dalam Cabaran seterusnya!