Saturday 11 February 2012

Buku Seni Silat Melayu

Baru-baru ini telah diadakan Pesta Buku 1Malaysia bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Tanpa mensia-siakan peluang dan kesempatan, penulis telah pergi ke pameran tersebut dan meninjau-ninjau bahan bacaan yang boleh dibeli.

Penulis telah melintasi gerai Dewan Bahasa dan Pustaka. Senaskhah buku telah menarik perhatian penulis, lalu penulis membelinya.


Buku tersebut bertajuk Seni Silat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya, setebal 188 mukasurat. Buku tersebut ialah hasil kajian Tuan Abd Rahman Ismail. Beliau seorang pesilat Seni Gayung Fatani, dan buku tersebut mengandungi catatan sejarah, pemerhatian, pengalaman dan aspirasi beliau dalam menerapkan seni silat dalam jatidiri bangsa Melayu di Malaysia.

Buku ini juga cuba mengupas beberapa isu dalam silat melayu iaitu, aspek seni tari, kebatinan, dan pengembangan seni silat ke luar ruang lingkup bangsa Melayu dan kawasan Nusantara, contohnya ke Eropah.


Salah satu pengalaman berharga yang dikongsi oleh Tuan Abd. Rahman di dalam bukunya ialah, pengalaman beliau menyertai Sukan SEA di Jakarta sebagai peserta silat olahraga, pada tahun 1979. Kontinjen tersebut disertai oleh 8 orang pesilat dari persatuan-persatuan silat yang menubuhkan PESAKA, termasuklah Guru Utama PSSCUHM masa kini, iaitu, YM Encik Marui@Marwi bin Latif sendiri.


Pada pendapat penulis, adalah baik bagi pesilat-pesilat Cekak untuk memiliki dan membaca buku ini, demi meluaskan pengetahuan dalam seni silat yang beraneka jenis di Tanah Nusantara ini. Terutamanya mengenai aspek seni dan tari silat Melayu. Selaras dengan sumpah setia kita, 'tidak mencaci segala rupa bentuk silat melayu asli yang lain'. Kata pepatah, 'tak kenal, maka tak cinta'. Apabila kita tahu, maka fahamlah kita mengapa silat lain ada tari, dan mengapa silat kita tidak mengutamakan aspek tari silat.

Tajuk buku: Seni SIlat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya
Penulis: Abd. Rahman Ismail
Ketebalan: 188ms
Harga: RM48.00
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments:

Post a Comment