Tuesday, 26 June 2012

Kejohanan Bowling PSSCUHM


Perasmian oleh Tn Hj. Amrahi

Pada 24 Jun yang lalu, Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi telah menganjurkan pertandingan bowling tenpin.
Pusat latihan Kota Damansara tidak ketinggalan menghantar wakil untuk sama-sama memeriahkan acara dan memberi saingan kepada para peserta.

Pertandingan diadakan di Ampang Superbowl dan telah bermula pada jam 11 pagi. Acara dimulakan dengan lontaran yang penuh bergaya oleh Tuan Hj Amrahi.


Piala rebutan

Pelbagai gaya permainan dan kemahiran telah dipamerkan oleh setiap peserta. Semangat kesukanan dan kemesraan sesama ahli jelas kelihatan antara para pemain.

Pertandingan tamat selepas selesai acara regu dan perseorangan. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tn Haji Amrahi.
Wakil Kota Damansara (regu Megat dan Azizul) berjaya memperoleh tempat keenam terbaik keseluruhan.


Bacaan lanjut: web cekakhanafi.com

Saturday, 19 May 2012

Ijazah Potong dan Tamat



Khamis lepas, beberapa lagi penuntut Silat Cekak Hanafi di PL SCH Kota Damansara telah berjaya mencapai tahap ijazah tamat dan potong.

Majlis disempurnakan di Akademi Silat Cekak Hanafi. Majlis bermula jam 9 malam dan selesai pada jam 11 malam.

Seperti biasa,  YM Guru Utama menjalankan kewajipannya memberi ijazah dan menyampaikan sepatah dua kata berkenaan aktiviti persilatan dan kata-kata semangat kepada yang baru mencapai peringkat baru dalam persilatan.

Wakil-wakil dari PL SCH Kota Damansara yang naik ke peringkat potong pada malam itu ialah saudara Piji, Megat, Khairil dan Fuad.

Manakala penuntut yang mengambil ijazah tamat ialah saudara Wan, Jowe, Amir dan Abid.

Majlis juga turut disertai ahli-ahli dari Pusat Latihan Kampung Baru dan TUDM Sungai Besi.



*saudara Abid tiada dalam gambar atas sebab-sebab teknikal

Monday, 7 May 2012

Bukan Sekadar Bersilat

Sepak mula!

Kami juga bermain futsal!

Dalam rangka usaha menarik minat ahli-ahli yang barangkali sudah 'sejuk', pelbagai inisiatif boleh dicuba untuk menghangatkan kembali minat turun bersilat.

 

Sana! Jaga sana!

Selepas sesi latihan malam Selasa tempohari, Pusat Latihan SCH Kota Damansara mengajak ahli-ahlinya bersama-sama bermain futsal.

Dapat juga kita melihat bakat terpendam dan bakat terendam. Apapun, semuanya demi mengeratkan silaturrahim sesama ahli.



Syarat ketat tiada. Cuma dilarang bergaduh sesama ahli dan kaedah-kaedah, asas, jatuh mahupun potong tidak dibenarkan semasa futsal.

Mikir strategi ke tu?

Saturday, 21 April 2012

Silat Cekak Hanafi dalam Wanita Hari Ini, TV3


Buat ahli yang terlepas tayangan di TV3 tempohari. Bersama kita sebarkan.

Sunday, 15 April 2012

Lirik Lagu Rasmi PSSCUHM - Peneraju Warisan Mutlak


'Peneraju Warisan Mutlak'

Penuh kesetiaan dan perpaduan
Kita junjung hasrat semua
Kepada guru, ibu dan bapa
Jasamu tetap dikenang

Kita menjaga keselamatan diri
Penuh semangat yang suci
Dengan asuhan jasmani dan rohani
Itulah amalan kami

Kita bersatu
Bicara benar
Tindak dengan bijaksana
Silat Cekak Ustaz Hanafi
Peneraju warisan mutlak

Kita berani dan beramanah
Mendukung wawasan mulia
Seni budaya pusaka kita
Untuk bangsa, agama dan negara

(ulang dua kali)

Lagu dan Lirik oleh Johari Salleh

Friday, 24 February 2012

Kelas Kemahiran


Pusat Latihan SCH Kota Damansara telah julung-julung kali mengadakan kelas kemahiran untuk tahun 2012 ini semalam. 

Kelas kemahiran dicadang untuk diadakan sebulan sekali setiap hari Khamis. Jurulatih bertanggungjawab untuk kelas kemahiran ialah Saudara Abdul Jalil.

Sukacita dimaklumkan, ahli-ahli yang telah tamat dan berminat untuk mendalami dan mempertajam kemahiran adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai kelas kemahiran. 

Saturday, 11 February 2012

Majlis Ijazah Potong

Pada malam 10 februari, bersamaan 17 rabiulawal yang lalu, telah diadakan majlis ijazah asas, potong dan tamat di rumah persatuan.

PL Kota Damansara telah menghantar pesilat-pesilat yang layak ke peringkat potong untuk mengambil ijazah. seramai 5 orang ahli telah mengambil bahagian.

Majlis bermula jam 9:30 malam dan diadakan dengan lancar dan penuh tertib. 

Majlis ijazah juga telah disertai oleh beberapa pusat latihan yang lain seperti Akademi sendiri, Pusat Latihan Kem Sungai Besi dan pusat latihan sejauh Seremban, Negeri Sembilan. 








Selesai adat ijazah, para pesilat dimandikan oleh petugas akademi. 

*maaf, gambar mandi tidak disertakan

Ahli-ahli juga menggunakan peluang yang ada ini untuk lebih beramah-mesra dan mendekati Guru Utama. Guru Utama juga tidak lokek menurunkan beberapa pesanan kepada anak muridnya.

Maka bermulalah satu tahap baru dalam perjalanan menuntut ilmu silat cekak ini. Diucapkan kepada saudara Jowe, Amir, Wan, Hafidz dan Anuar terus cekal menuntut ilmu sehingga ke peringkat tamat pula.