Sunday, 15 April 2012

Lirik Lagu Rasmi PSSCUHM - Peneraju Warisan Mutlak


'Peneraju Warisan Mutlak'

Penuh kesetiaan dan perpaduan
Kita junjung hasrat semua
Kepada guru, ibu dan bapa
Jasamu tetap dikenang

Kita menjaga keselamatan diri
Penuh semangat yang suci
Dengan asuhan jasmani dan rohani
Itulah amalan kami

Kita bersatu
Bicara benar
Tindak dengan bijaksana
Silat Cekak Ustaz Hanafi
Peneraju warisan mutlak

Kita berani dan beramanah
Mendukung wawasan mulia
Seni budaya pusaka kita
Untuk bangsa, agama dan negara

(ulang dua kali)

Lagu dan Lirik oleh Johari Salleh

Friday, 24 February 2012

Kelas Kemahiran


Pusat Latihan SCH Kota Damansara telah julung-julung kali mengadakan kelas kemahiran untuk tahun 2012 ini semalam. 

Kelas kemahiran dicadang untuk diadakan sebulan sekali setiap hari Khamis. Jurulatih bertanggungjawab untuk kelas kemahiran ialah Saudara Abdul Jalil.

Sukacita dimaklumkan, ahli-ahli yang telah tamat dan berminat untuk mendalami dan mempertajam kemahiran adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai kelas kemahiran. 

Saturday, 11 February 2012

Majlis Ijazah Potong

Pada malam 10 februari, bersamaan 17 rabiulawal yang lalu, telah diadakan majlis ijazah asas, potong dan tamat di rumah persatuan.

PL Kota Damansara telah menghantar pesilat-pesilat yang layak ke peringkat potong untuk mengambil ijazah. seramai 5 orang ahli telah mengambil bahagian.

Majlis bermula jam 9:30 malam dan diadakan dengan lancar dan penuh tertib. 

Majlis ijazah juga telah disertai oleh beberapa pusat latihan yang lain seperti Akademi sendiri, Pusat Latihan Kem Sungai Besi dan pusat latihan sejauh Seremban, Negeri Sembilan. 








Selesai adat ijazah, para pesilat dimandikan oleh petugas akademi. 

*maaf, gambar mandi tidak disertakan

Ahli-ahli juga menggunakan peluang yang ada ini untuk lebih beramah-mesra dan mendekati Guru Utama. Guru Utama juga tidak lokek menurunkan beberapa pesanan kepada anak muridnya.

Maka bermulalah satu tahap baru dalam perjalanan menuntut ilmu silat cekak ini. Diucapkan kepada saudara Jowe, Amir, Wan, Hafidz dan Anuar terus cekal menuntut ilmu sehingga ke peringkat tamat pula.

Buku Seni Silat Melayu

Baru-baru ini telah diadakan Pesta Buku 1Malaysia bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Tanpa mensia-siakan peluang dan kesempatan, penulis telah pergi ke pameran tersebut dan meninjau-ninjau bahan bacaan yang boleh dibeli.

Penulis telah melintasi gerai Dewan Bahasa dan Pustaka. Senaskhah buku telah menarik perhatian penulis, lalu penulis membelinya.


Buku tersebut bertajuk Seni Silat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya, setebal 188 mukasurat. Buku tersebut ialah hasil kajian Tuan Abd Rahman Ismail. Beliau seorang pesilat Seni Gayung Fatani, dan buku tersebut mengandungi catatan sejarah, pemerhatian, pengalaman dan aspirasi beliau dalam menerapkan seni silat dalam jatidiri bangsa Melayu di Malaysia.

Buku ini juga cuba mengupas beberapa isu dalam silat melayu iaitu, aspek seni tari, kebatinan, dan pengembangan seni silat ke luar ruang lingkup bangsa Melayu dan kawasan Nusantara, contohnya ke Eropah.


Salah satu pengalaman berharga yang dikongsi oleh Tuan Abd. Rahman di dalam bukunya ialah, pengalaman beliau menyertai Sukan SEA di Jakarta sebagai peserta silat olahraga, pada tahun 1979. Kontinjen tersebut disertai oleh 8 orang pesilat dari persatuan-persatuan silat yang menubuhkan PESAKA, termasuklah Guru Utama PSSCUHM masa kini, iaitu, YM Encik Marui@Marwi bin Latif sendiri.


Pada pendapat penulis, adalah baik bagi pesilat-pesilat Cekak untuk memiliki dan membaca buku ini, demi meluaskan pengetahuan dalam seni silat yang beraneka jenis di Tanah Nusantara ini. Terutamanya mengenai aspek seni dan tari silat Melayu. Selaras dengan sumpah setia kita, 'tidak mencaci segala rupa bentuk silat melayu asli yang lain'. Kata pepatah, 'tak kenal, maka tak cinta'. Apabila kita tahu, maka fahamlah kita mengapa silat lain ada tari, dan mengapa silat kita tidak mengutamakan aspek tari silat.

Tajuk buku: Seni SIlat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya
Penulis: Abd. Rahman Ismail
Ketebalan: 188ms
Harga: RM48.00
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Sunday, 5 February 2012

Mesyuarat Agung, Hari Tenaga Pengajar dan Makan Malam 2012


Pada 4 Februari lalu, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya serta sambutan Hari Tenaga Pengajar 2012 dan majlis makan malam tahunan di Dewan Keramat Mall di Keramat.

PLSCHKD telah dijemput menghadiri mesyuarat agung tersebut dan juga diminta mengadakan persembahan demo khas sempena hari tenaga pengajar. Tanpa menghampakan permintaan tersebut, pasukan demo PLSCHKD mengkoreograf persembahan khas serta diiringi dengan kesan muzik khas.

Pada malamnya, PLSCHKD juga telah bersama-sama memeriahkan majlis makan malam di Dewan Keramat Mall. PLSCHKD telah memenuhkan dua meja yang ditempah. Pelbagai acara dilaksanakan pada majlis tersebut seperti cabutan bertuah, deklamasi sajak dan syair, penyampaian lading dan lelongan tongkat  istimewa bertandatangan Guru Utama.

Pada majlis yang sama, telah diuar-uarkan agenda Wajadiri tahun ini serta tempat acara Cabaran Pandai Silat yang kedua.


1. Sabar menanti hidangan
2. Bersinar matanya!
3. Kugiran menceriakan suasana

PLSCHKD sangat berkobar-kobar untuk menyahut cabaran Wajadiri dan Pandai Silat!

Saturday, 7 January 2012

Pusat Latihan Kem TUDM Sungai Besi

Dalam meramaikan ahli dan usaha mengembangkan seni silat yang kita kasihi ini, PLSCH Kota Damansara telah mengadakan demonstrasi di Kem TUDM Sungai Besi sempena majlis penerangan, pembukaan pusat latihan dan pengambilan ahli baru di sana. 

Majlis penerangan telah diadakan pada 3 Januari baru-baru ini di dewan besar kem tersebut, pada jam 9:30pm. 

Pusat latihan yang baru dibuka ini akan diselia oleh saudara Zainuri. Latihan dijangka akan diadakan setiap Isnin malam dan Rabu malam. 

Video demonstrasi boleh didapati di SINI, atau lawati PL SCH Kota Damansara di facebook

Peserta demo tersenyum puas

Wednesday, 4 January 2012

Pertandingan Futsal Piala YDP Selangor


Demi tidak menghampakan undangan, PLSCH Kota Damansara telah menerima jemputan dan bersama-sama memeriahkan Pertandingan Futsal Piala YDP Selangor 2011 di Bandar Baru Bangi.

Program anjuran SCH Selangor ini telah berjaya merapatkan persaudaraan sesama ahli SCH negeri Selangor dan memupuk semangat kesukanan. Terlebih utama, ialah bukan sahaja ahli silat hanya pandai bersilat, tetapi juga berbakat dalam sukan futsal. 


Nantikan program anjuran PLSCHKD tahun 2012 ini, dan sama-sama kita saksikan bakat-bakat sukan lain yang terpendam dalam ahli-ahli SCH.